Saturday 28 January 2012

CONTOH KARANGAN BERITA

SOALAN:
   Seorang kanak-kanak yang menderita penyakit jantung berlubang memerlukan derma daripada orang ramai.Sebagai pemberiata,anda telah diarahkan menulis berita tentang penderitaan kanak-kanak itu.Tulis berita itu selengkapnya.

JAWAPAN:
KULAI,Jumaat-Sumbangan orang ramai amat-amat diperlukan bagi membantu Nurul Suhana,tiga tahun,kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung berlubang bagi meringankan penderitaan yang ditanggungnya.Puan Maznah Ahmad,35 tahun,ibu kepada Nurul Suhana merayu sumbangan derma daripada masyarakat Malaysia yang prihatin bagi menyelamatkan nyawa anaknya.
   Kanak-kanak malang itu memerlukan kos rawatan sebanyak RM150 000 bagi menjalani pembedahan dan rawatan susulan.Jumlah yang diperlukan amat tinggi dan tidak dapat ditampung oleh keluarganya.Ayah Nurul Suhana,Encik Jamaluddin Ahmad hanya bekerja sebagai pembantu makmal sekolah dan Puan Maznah sendiri tidak bekerja.Nurul Suhana adalah anak kedua daripada tiga orang adik-beradik.Anak sulung mereka bakal memulakan sesi persekolahan pada tahun hadapan.Keadaan ini begitu merumitkan mereka.
   Nurul Suahan kinimasih dirawat di Hospital Sultanah Aminah,Johor Bahru.Keadaannya dilaporkan semakin serius dari sehari ke sehari.Menurut doktor pakar yang merawatnya,Nurul Suhana perlu menjalani pembedahan segera bagi menyelamatkan nyawanya.Setakat ini,keluarga kanak-kanak malang itu telah berjaya mengumpulkan dana kira-kira RM50 000 hasil derma dan sumbangan orang awam yang prihatin.
   Menurut Encik Jamaluddin pula,penyakit anaknya itu mula dikesan ketika Nurul Suhana berusia dua tahun.Beliau menyedari masalah kesihatan anaknya apabila anaknya sering menangis hingga ada kalanya bibirnya menjadi kebiru-biruan.Setelah dibawa untuk menjalani rawatan,doktor mengesahkan bahawa anaknya itu menghidap penyakit jantung berlubang.Sejak hari itu,Nurul Suhana sering berulang ke hospital untuk menerima rawatan.Beliau sendiri sering mengambil cuti untuk menghantar anaknya menjalani rawatan.
   Menurut beliau lagi,pada awalnya beliau agak keberatan untuk mendedahkan penderitaan puteri mereka kepada pihak media.Namun,keadaan Nurul Suhana yang semakin kritikal menyebabkan beliau terpaksa memohon simpati daripada orang ramai.Ketika berita ini ditulis,Nurul Suhana telah pun berada di Kuala Lumpur untuk menerima rawatan daripada doktor pakar jantung di Institut Jantung Negara(IJN).Nurul Suhana dijangka akan berada di IJN selama satu minggu.
   Orang ramai yang prihatin dan ingin memberikan sumbangan bolehlah menghubungi keluarga Encik Jamaluddin di talian 017-7234567 atau melalui akaun Mybank,511-2765234.Derma ikhlas daripada anda amatlah dialu-alukan demi menyelamatkan nyawa anak kecil ini.

CONTOH KARANGAN CEREKA


SOALAN:
   Tulis sebuah karangan cereka yang bermula dengan ayat yang berikut:Kereta api penumpang yang kunaiki meluncur semakin laju.Beberapa mint kemudian,tiba-tiba...


JAWAPAN:
   Kereta api penumpang yang kunaiki meluncur semakin laju.Beberapa minit kemudian,tiba-tiba saja kereta api itu berhenti secara mendadak.Aku tersentak.Penumpang-penumpang terdorong ke depan dan ada penumpang yang terjatuh dari kerusi masing-masing.Keadaan yang tenang tadi berubah menjadi gempar.Suara riuh-rendah diselan-selikan dengan suara tangisan mula kedengaran.
   “Apa yang terjadi?”aku tertanya-tanya sendirian.Seribu satu macam kemungkinan berlegar-legar dalam benakku.Aku merasakan bahawa ada cecair merah yang perlahan-lahan mengalir di dahiku.Rupa-rupanya dahiku mengalami luka kecil sebagai akibat terhantuk pada kerusi penumpang di depanku.Aku mengesat lelehan darah itu dengan sapu tangan.Aku berusaha untuk bertenang.
   Para penumpang mula bangun dan berasak-asak hendak turun.Masing-masing tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku.Aku turut turun menyertai mereka.Dari tempatku berdiri,aku ternampak seekor lembu tersepit di bawah gerabak.Aku yakin bahawa kereta api telah melanggar lembu itu hingga menyebabkan kereta api itu berhenti secara tiba-tiba.
   Aku terdengar suara raungan wanita dari salah satu gerabak.Hatiku terdorong untuk membantu.Dalam keadaan yang sesak itu,aku berusaha mencari arah suara raungan itu.Rupa-rupanya,seorang ibu menangisi anak kecilnya yang cedera di bahagian muka.Anak itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.Beberapa orang cuba membantu menenteramkan si ibu.
   Tidak lama kemudian,ambulanspun tiba di tempat kejadian.Mungkin ada insan yang bertindak pantasmenghubungi pihak penyelamat.Sepasukan penyelamat sukarelawan,iaitu “SMART” tiba beberapa minit kemudian.Kerja-kerja menyelamat mangsa kemalangan dilakukan serta-merta.Penumpang-penumpang yang cedera dibawa ke hospital yang berhampiran.
   Sementara itu,para penumpang lain yang terselamat dibawa dengan bas menuju ke stesen kereta api yang berhampiran bagi meneruskan perjalanan masing-masing.Lapan buah bas diperlukan untuk membawa penumpang-penumpang tersebut.
   Lima jam kemudian,aku dan para penumpang yang lain menaiki kereta api gantian untuk meneruskan


 perjalanan ke utara.Meskipun aku selamat tiba di AlorSetar,namun perasaan gerun tetap menghantuiku 


sepanjang perjalanan itu.

CONTOH KARANGAN FAKTA

SOALAN:
   Kemudahan internet bukanlah sesuatu yang asing dekad ini.Nyatakan kesan-kesan penggunaan internet dalam kalangan pelajar.

JAWAPAN:
   Kerajaan telah memperkenalkan konsep dunia tanpa sempadan dengan membangunkan kawasan Cyberjaya sebagai pusat teknologi maklumat.Selaras dengan perkembangan ini,perkhidmatan internet kian meluas.Kini,internet dapat dilanggani menerusi talian tetap dan talian mudah alih juga.Hal ini memberikan kesan positif kepada negara khususnya dalam bidang pendidikan.
   Banyak kelebihan yang dapat diperoleh menerusi internet.Kemudahan ini membuka ruang yang lebih luas kepada pelajar memperoleh maklumat.Internet umpama perpustakaan elektronik yang memudahkan pencarian bahan yang mungkintidak dapat diperoleh dari perpustakaan biasa.Hal ini dapat membantu pelajar lebih memahami pembelajaran disekolah.
   Kita sedia maklum bahawa internet kaya dengan pelbagai info yang merangkum pelbagai bidang.Info-info ini bukan saja memuatkan maklumat dalam negeri,malah dari seluruh dunia juga.Maklumat-maklumat tersebut lebih tepat dan terkini serta mudah diperoleh tanpa banyak membuang masa.Proses pencarianmaklumat juga tidak membosankan kerana kebanyakkan laman web dipaparkan dalam pelbagai bentuk grafik dan berwarna-warni.
  Selain itu,kita dapat berhubung dengan kenalan melalui e-mel juga.Dewasa ini,penggunaan e-mel begitu meluas hingga masyarakat jarang-jarang menghantar surat melalui pos.Internet dapat menghubungkan seseorang dengan kenalan dari merata pelosok dunia dalam tempoh yang singkat.Laman sembang di internet pula memudahkan pelajar berbincang dengan rakan-rakan mengenai sesuatu topik meskipun tidak  duduk semeja.
   Internet juga menawarkan ribuan perkhidmatan yang dapat memudahkan urusan harian.E-dagang membolehkan pengguna membeli-belah melalui litar maya.Bagi pelajar,laman ini memudahkan pembelian buku-buku keluaran terkini.E-perbankan pula menawarkan perkhidmatan perbankan 24 jam yang amat menjimatkan.Selain itu,internet turut menawarkan hiburandari serata dunia.Ruangan hiburan yang mudah dan murah ini dapat dinikmati meskipun pelajar berada di rumah.Pelajar dapat menikmati lagu-lagu terkini dan muat turun lagu-lagu kegemaran dari dalam dan luar negara juga.
   Kesimpulannya,perkembangan teknologi maklumat banyak manfaatnya.Oleh itu,terpulanglah kepada kita untuk menilai dan memilih baik buruknya penggunaan internet ini.Jika pelajar bijak memanfaatkannya,sudah tentu teknologi ini memberikan impak yang amat memberangsangkan kepada penggunanya.  

CONTOH KARANGAN PERIBAHASA

SOALAN:
   “Genggam bara api,biar sampai menjadi arang”.Tulis suatu cerita berdasarkan peribahasa tersebut.

JAWAPAN:
   Peribahasa “genggam bara api,biar sampai menjadi arang”,bermaksud sesuatu pekerjaan itu hendaklah diusahakan sungguh-sungguh hingga berjaya.Maksud peribahasa ini dapat dikaitkan dengan kisah Ridzuwan,seorang mekanik muda yang baru mengenal alam pekerjaan selepas tamat alam persekolahan.
   Ridzuwan tidak mempunyai pengalaman bekerja sebagai mekanik.Oleh itu,dia dibayar dengan gaji yang rendah.Pada awalnya,dia agak kekok kerana banyak alat yang digunakan tidak diketahui fungsinya.Justeru,dia bekerja dengan sungguh-sungguh untuk menimba pengalaman dan pengetahuan dalam bidang pengendalian mototsikal.
   Kecetekan ilmu menyebabkan Ridzuwan selalu ditegur oleh pengusaha bengkel dan rakan-rakan sekerjanya yang lain.Namun,dia cekalkan hatinya.Ridzuwan banyak belajar daripada teguran tersebut dan setiap hari adalah waktu untuknya belajar.Ridzuwan menganggap bahawa pengalaman itu amat berharga bagi mempersiapkan dirinya sebagai mekanik yang mahir.
   Ridzuwan tidak pernah ponteng bekerja malah selalu bekerja lebih masa.Dia tidak pernah mengenal erti jemu dan penat,malah dia semakin seronok bekerja di situ.Selain itu,dia bijak menabung dan tidak pernah boros berbelanja apabila dia mendapat gaji.Sebahagian daripada wang gajinya disimpan untuk keperluan masa depannya.Dia bercita-cita untuk membuka bengkel sendiri suatu masa nanti.
   Berkat ketekunannya itu,dia dilantik sebagai ketua mekanik di bengkel itu.Banyak pelanggan yang telah mengenal Ridzuwan.Kini,dia dibayar dengan gaji yang lebih tinggi setiap bulan.
   Setelah hampir sepuluh tahun Ridzuwan bekerja di bengkel itu,akhirnya dia mengambil keputusan untuk berhenti bekerja dan membuka perniagaan sendiri.Kini,perniagaannya semakin maju.Sikap Ridzuwan yang tidak pernah jemu itu adalah rahsia kejayaannya.Kejayaan Ridzuwan itu dapatlah dikaitkan dengan peribahasa,”genggam bara api,biar sampai menjadi arang”.

CONTOH KARANGAN LAPORAN

SOALAN:
   Acara merentas desa telah selesai dijalankan.Sebagai setiausaha rumah sukan,anda diminta menulis laporan tentang perjalanan acara tersebut untuk diserahkan kepada guru penasihat rumah sukan.Tulis laporan anda selengkapnya.

JAWAPAN:
   Pada 14 Mac 2010 yang lalu,acara merentas desa peringkat sekolah telah berlangsung.Acara ini diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Ahmad pada pukul 8.00 pagi.
   Acara merentas desa merupakan acara tahunan sekolah yang melibatkan empat buah rumah sukan iaitu rumah Hang Tuah,rumah Hang Jebat,rumah Hang Kasturi dan rumah Hang Lekir.Para peserta dilepaskan mengikut kategori masing-masing iaitu bawah 15 tahun dan bawah 18 tahun.Para peserta dilepaskan oleh Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Ahmad,iaitu Encik Jamaluddin bin Omar.
   Jarak larian peserta berbeza mengikut kategori.Untuk kategori bawah 15 tahun,jarak larian adalah sejauh lima kilometer,manakala bawah 18 tahun pula jarak larian adalah sejauh lapan kilometer.Setiap peserta yang berlari dalam tempoh yang ditetapkan akan menyumbangkan mata untuk rumah sukan masing-masing.
   Setelah hampir satu jam berlangsung,para hakim bersiap sedia berada di garisan penamat.Para hakim sibuk mengira markah yang dikumpul untuk mencari rumah sukan yang bakal muncul juara acara merentas desa pada tahun ini.
   Para peserta berkumpul di hadapan astaka sekolah untuk upacara penyampaian hadiah.Peserta-peserta yang mendapat tempat pertama hingga kesepuluh telah diberi pingat kemenangan.Rumah Hang Kasturi telah diumumkan sebagai juara keseluruhan acara merentas desapada tahun ini.
   Acara merentas desa telah tamat pada pukul 12 tengah hari.Semangat juang yang ditunjukkan oleh para peserta dalam acara merentas desa amat tinggi dan patut diberikan pujian.
Disediakan oleh,
...........................................
(MOHD.FARID AMIRUL)
Setiausaha Ruamh Sukan,
SMK Tuanku Ahmad.

CONTOH KARANGAN PERBAHASAN

SOALAN:
   “Menghadiri tuisyen lebih baik daripada mengikuti kelas tambahan di sekolah”.Sebagai pihak pembangkang,sediakan hujah-hujah anda untuk disampaikan dalam pertandingan perbahasan antara kelas di sekolah anda.Tulis teks tersebut selengkapnya.


JAWAPAN:
   Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis,guru-guru,para hakim,pihak pencadang dan rakan-rakan yang dihormati sekalian.Selamat sejahtera dan selamat pagi saya ucapkan.Tajuk perbahasan saya pada kali ini ialah “Menghadiri tuisyen lebih baik daripada mengikuti kelas tambahan di sekolah”.Sebagai pihak pembangkang,saya menentang tajuk tersebut dan tetap mengatakan bahawa kelas tambahan lebih baik daripada tuisyen.
Sidang hadirin sekalian,
   Tuisyen bermaksud belajar di pusat-pusat tuisyen di luar kawasan sekolah dan setiap pembelajarannya perlu dibayar.Sementara kelas tambahan ialah mengikuti kelas di sekolah yang berada di luar jadual waktu harian kelas,mungkin pada waktu petang atau hujung minggu atau pada cuti persekolahan.
Guru-guru di sekolah bertanggungjawab untuk menghabiskan sukatan pelajaran dan meningkatkan pencapaian kualiti dan kuantiti kelulusan para pelajar.Mereka juga akan mengajar semua tajuk tanpa mengesampinkan tajuk-tajuk yang kurang penting.Berbeza dengan pembelajaran di pusat tuisyen,jika sukatan pelajaran tidak habis bukan menjadi tanggungjawab guru pusat tuisyen untuk menghabiskannya.Oleh itu,kelas tambahan di sekolah lebih baik berbanding dengan mengikuti kelas tuisyen.
   Terdapat segelintir pelajar yang menghadiri pusat tuisyen semata-mata untuk keluar dari rumah.Malah,ada juga yang pergi ke pusat tuisyen mengambil kesempatan untuk menggangu pelajar-pelajar lain.Hal ini berbeza apabila pelajar menghadiri kelas tambahan.Pelajar-pelajar memang mengikuti pelajaran dengan penuh minat dan sungguh-sungguh.
Hadirin yang dihormati,
   Hujah saya yang terakhir ialah berkaitan dengan disiplin pelajar.Ada kalanya,kita berasa sedih apabila melihat tingkah laku segelintir pelajar yang mengikuti kelas tuisyen.Tingkah laku mereka sungguh mencolok mata.Ada antara mereka yang tidak segan silu merokok dan berpakaian mengikut trend terkini yang tidak sesuai atau mencolok mata.Adakah para pelajar yang menghadiri kelas tambahan berkeadaan demikian?Tidak hadirin sekalian.Semuanya datang dengan berdisiplin.
   Oleh sebab masa tidak mengizinkan,setakat ini saja hujah-hujah yang dapat saya sampaikan.Saya tetap mengatakan bahawa menghadiri kelas tambahan adalah jauh lebih baik daripada mengikuti kelas tuisyen.Sekian terima kasih. 

CONTOH KARANGAN UCAPAN/SYARAHAN/CERAMAH

SOALAN:
   Andaiakan bahawa anda pegawai kaunseling dari Jabatan Pelajaran.Anda telah diundang untuk menyampaikan ceramah disebuah sekolah.Ceramah tersebut bertajuk “Gejala Vandalisme di Sekolah”.Tulis teks ceramah anda selengkapnya.

JAWAPAN:
   Salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis,Yang berusaha Tuan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Murni,Puan Hajah Saleha Tumin,guru-guru,para pelajar dan hadirin sekalian.Lebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang menyampaikan ceramah yang bertajuk,”Gejala Vandalisme di Sekolah”.
Hadirin yang dihormati,
   Vandalisme dapat dikelaskan kepada tiga bahagian iaitu perlakuan,dendam dan conteng.Biasanya,mereka yang terlibat dalam gejala ini ialah remaja yang berusia sekitar 15 tahun hingga 21 tahun.Antara tempat yang sering menjadi tumpuan termasuklah telefon awam,papan tanda,dinding tandas,peralatan sekolah dan sebagainya.
   Pelbagai faktor yang mempengaruhi gejala vandalisme ini.Antara punca utama termasuklah pengaruh rakan sebaya.Golongan remaja amat mudah terpengaruh oleh persekitarannya.Desakan rakan sebaya dan sikap tidak mahu ketinggalan dalam kumpulan mendorong situasi ini berlaku.Keadaan ini secara tidak langsung dapat mencorakkan sikap,nilai,serta tingkah laku mereka.
Ibu bapa dapat menjadi penyebab kepada masalah ini juga.Remaja yang terjebak lazimnya lahir daripada keluarga yang bermasalah.Ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja hingga mengabaikan keperluan dan kasih sayang akan menyebabkan ank-anak berasa tersisih.Sikap ambil mudah dan kurangnya pemantauan daripada ibu bapa dapat menyebabkan anak-anak akan melakukan perkara di luar kawalan.
   Selain itu,ibu bapa tidak harus memandang remeh aspek pembentukan akhlak menerusi nilai-nilai agama juga.Didikan agam dan amalan ajaran agama amat penting untuk membentuk jiwa anak-anak yang masih mudah dilentur ini.Hanya nilai agama yang dapat membentengi jiwa mereka dalam menghadapi pelbagai gejala negatif.
Hadirin yang budiman,
   Saya benar-benar berharap agar gejala vandalisme ini dapat dibanteras melalui penguatkuasaan undang-undang yang ketat.Semua pihak memainkan peranan penting untuk memberikan bimbingan dan nasihat kepada para pelajar mengenai kepentingan menjaga dan menghargai harta benda awam.Sekian,terima kasih.