Saturday 28 January 2012

CONTOH KARANGAN PERIBAHASA

SOALAN:
   “Genggam bara api,biar sampai menjadi arang”.Tulis suatu cerita berdasarkan peribahasa tersebut.

JAWAPAN:
   Peribahasa “genggam bara api,biar sampai menjadi arang”,bermaksud sesuatu pekerjaan itu hendaklah diusahakan sungguh-sungguh hingga berjaya.Maksud peribahasa ini dapat dikaitkan dengan kisah Ridzuwan,seorang mekanik muda yang baru mengenal alam pekerjaan selepas tamat alam persekolahan.
   Ridzuwan tidak mempunyai pengalaman bekerja sebagai mekanik.Oleh itu,dia dibayar dengan gaji yang rendah.Pada awalnya,dia agak kekok kerana banyak alat yang digunakan tidak diketahui fungsinya.Justeru,dia bekerja dengan sungguh-sungguh untuk menimba pengalaman dan pengetahuan dalam bidang pengendalian mototsikal.
   Kecetekan ilmu menyebabkan Ridzuwan selalu ditegur oleh pengusaha bengkel dan rakan-rakan sekerjanya yang lain.Namun,dia cekalkan hatinya.Ridzuwan banyak belajar daripada teguran tersebut dan setiap hari adalah waktu untuknya belajar.Ridzuwan menganggap bahawa pengalaman itu amat berharga bagi mempersiapkan dirinya sebagai mekanik yang mahir.
   Ridzuwan tidak pernah ponteng bekerja malah selalu bekerja lebih masa.Dia tidak pernah mengenal erti jemu dan penat,malah dia semakin seronok bekerja di situ.Selain itu,dia bijak menabung dan tidak pernah boros berbelanja apabila dia mendapat gaji.Sebahagian daripada wang gajinya disimpan untuk keperluan masa depannya.Dia bercita-cita untuk membuka bengkel sendiri suatu masa nanti.
   Berkat ketekunannya itu,dia dilantik sebagai ketua mekanik di bengkel itu.Banyak pelanggan yang telah mengenal Ridzuwan.Kini,dia dibayar dengan gaji yang lebih tinggi setiap bulan.
   Setelah hampir sepuluh tahun Ridzuwan bekerja di bengkel itu,akhirnya dia mengambil keputusan untuk berhenti bekerja dan membuka perniagaan sendiri.Kini,perniagaannya semakin maju.Sikap Ridzuwan yang tidak pernah jemu itu adalah rahsia kejayaannya.Kejayaan Ridzuwan itu dapatlah dikaitkan dengan peribahasa,”genggam bara api,biar sampai menjadi arang”.

11 comments: